Alam Dunia Tanpa Sempadan

Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T, Saya berjaya membina sebuah blog dan menulis di dalamnya. Titik tolak kepada penemuan ini sejak Saya berjinak-jinak dengan alam siber setahun yang lalu.Walaupun badai "berblogging" dan "blogger" telah melanda dan mula dikenali ramai bertahun-tahun yang lepas tetapi dek kesibukan kerja yang tak pernah surut dan berkesudahan di pejabat yang secara puratanya Saya menghabiskan masa melebihi 8 jam sehari menyebabkan Saya lebih banyak menjadi pendengar setia sahaja kepada kawan-kawan yang sibuk berblogging.

Anjakan paradigma ini berlaku apabila Saya mengambil keputusan untuk membuat penghijrahan kerjaya Saya dan sekaligus berhijrah tempat tinggal dari Johor ke Kuala Lumpur setahun yang lalu. (Setelah 12 tahun menetap di Johor, sejak mula belajar di peringkat universiti sampaila ke dunia berkerjaya). Saya mula berjinak dengan alam maya ini dengan mengambil langkah membuka akaun muka buku atau "facebook" dengan bermatlamat supaya ukhuwwah yang terbina sekian lama dengan sahabat-sahabat di Johor tidak terputus begitu sahaja, memandangkan kuasa muka buku ini sangatla berpengaruh sekali. Mungkin sesetengah orang berpendapat Saya adalah golongan konvensional dan ketinggalan dari segi penggunaan muka buku ini, memandangkan baru akhir tahun 2012 baru nak memulakannya, sedangkan ianya sudah lama terkenal. Tetapi Saya tidak merasakan ianya sesuatu yang ketinggalan kerana Saya mempunyai pendapat Saya sendiri.


Dahulu, Saya mempunyai tanggapan buruk terhadap penggunaan muka buku atau saya gunakan perkataan singkatannya di sini FB, setelah melihat kawan-kawan sepejabat dan terdekat begitu teruja dan ketagih dengan penggunaanya sampaikan mereka melayari FB di waktu pejabat sehinggakan boleh menjejaskan pretasi kerja, terpaksa diberi amaran oleh pihak pengurusan dan paling teruk bagi Saya ialah mencuri waktu berkerja!. Banyak lagi kes pada waktu itu, kesan FB boleh meretakkan hubungan rumahtangga, tersebarnya fitnah, umpatan, membuka aib dan keburukan, rasa tak puas hati dan sebagainya. Saya fikir, daripada Saya terjebak dengan fenomena ini, baik Saya menjauhkan diri darinya. 

Tanggapan Saya mula berubah setelah Saya membaca artikel seorang Ustaz terkenal yang berkaitan dengan penggunaan FB ini. Secara metaforanya, FB ini kita boleh umpamakan seperti pisau. Dengan pisau ini kita boleh potong daging, sayur dan membantu kita memasak di dapur, dan dengannya juga kita boleh menggunakan untuk melukakan dan hatta boleh membunuh orang..Nauzubillahimin zalik. Yang penting sekali adalah sikap dan disiplin penggunanya. Penggunanya mestilah mempunyai tatasusila penggunaan dan akhlak supaya tidak menceritakan keaiban seseorang sehinggakan menimbulkan fitnah, memuat naik gambar yang mendedahkan aurat dan sebagainya.

Setelah itu, Saya mula menjejaki kawan-kawan lama semasa belajar di universiti dahulu, kawan-kawan di sekolah menengah sehinggakan kawan-kawan sekolah rendah yang masih dalam ingatan (agak sukar untuk mengingati kawan-kawan 25 tahun yang lepas..huhu). Liputan luas alam siber membolehkan kita berhubung dengan sesiapa sahaja merentasi benua. Dari itulah Saya mula menyedari dengan ber hubungan secara maya atau "online" ini sama ada menggunakan tapak blog atau FB boleh menyumbang banyak perkongsian ilmu dan boleh menjana pendapatan! Ramai usahawan sekarang bermula dengan menjual secara kecil-kecilan melalui "online" sebelum mereka boleh membuka kedai atau menjual secara nyata, mengembangkan perniagaannya dan seterusnya bergelar usahawan yang berjaya.

Ciri-ciri yang paling menyenangkan melalui aplikasi FB ini ialah kita boleh menjejaki sesiapa sahaja kawan kita hanya dengan menaip nama (jika dia juga berdaftar dengan FB) di ruangan cari atau "search" dalam sekelip mata sahaja keluar hasil carian yang berkaitan dengannya sehinggakan Saya "add" kawan lama saya semasa sekolah menengah "Normi Mat Yusoff" menemukan Saya kepada Kelas Asas Blog dan Fan Page ini!















Comments